Pergerakan Wanita Parti PBB Bukit Saban didedah aktiviti bantu jana ekonomi

KUCHING: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Saban terus memperkasa golongan tersebut menerusi penganjuran Program Peningkatan Kemahiran Memasak Wanita N.37 Bukit Saban.

Aktiviti berkenaan bertujuan meningkatkan kemahiran serta membuka peluang menjana pendapatan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, wanita memainkan peranan penting dalam pembangunan keluarga dan masyarakat, justeru perlu diberikan peluang untuk meningkatkan kemahiran serta memperkukuh ekonomi keluarga.

Menurut beliau, program berasaskan kemahiran dan keusahawanan mampu membantu wanita, khususnya di luar bandar, memperoleh sumber pendapatan yang lebih mampan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Peningkatan Kemahiran Memasak Wanita N.37 Bukit Saban anjuran Pergerakan Wanita Parti PBB Cawangan Bukit Saban di sini, semalam.

Douglas Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, beliau bersama Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu komited memastikan lebih banyak program pembangunan dan peningkatan kemahiran dilaksanakan untuk manfaat wanita di kawasan Betong.

Katanya, peserta perlu memanfaatkan sepenuhnya ilmu yang diperoleh sepanjang program dan berkongsi pengetahuan tersebut dengan masyarakat agar manfaatnya dapat diperluaskan.

Program selama tiga hari itu memberi pendedahan teori dan praktikal dalam penyediaan makanan termasuk latihan membuat dan menggoreng mee kuning, penyediaan pelbagai menu masakan serta kursus penyajian makanan.

Turut hadir ialah Datin Amar Dato Doreen Mayang dan Ketua Wanita Cawangan Bukit Saban, Natasha Nasa Uggah.