Hari Kemahiran KEMAS pemangkin ekonomi luar bandar – Len Talif

TANJUNG MANIS: Program Hari Kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi luar bandar menerusi pemerkasaan kemahiran dan keusahawanan komuniti.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, program berkenaan selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan serta pengukuhan ekonomi masyarakat luar bandar secara inklusif dan mampan.

Menurutnya, Hari Kemahiran bukan sekadar program jabatan, malah menjadi platform penting untuk meningkatkan capaian masyarakat luar bandar dalam aspek pembangunan diri, penguasaan kemahiran dan keusahawanan.

“Kehadiran kira-kira 150 peserta serta sokongan masyarakat sekitar Tanjung Manis membuktikan masyarakat luar bandar amat dahagakan peluang untuk memajukan diri dan meningkatkan daya saing dalam pendidikan kemahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Hari Kemahiran Jabatan KEMAS Tanjung Manis Tahun 2026 di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu berkata, sepanjang program berlangsung, pelbagai pertandingan telah diadakan termasuk dalam bidang jahitan yang mengetengahkan rekaan fesyen bertemakan warisan budaya Malaysia.

Beliau menyifatkan hasil kerja yang dipamerkan peserta sebagai kreatif, berkualiti dan mempunyai potensi pasaran yang tinggi, sekali gus membuktikan bidang kemahiran bukan lagi sekadar hobi tetapi mampu menjadi sumber pendapatan dan asas kepada pembinaan perniagaan.

Katanya, kejayaan program itu turut mencerminkan keberkesanan kerjasama bersepadu antara KEMAS dengan pelbagai rakan strategik dan agensi kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan secara terus kepada komuniti luar bandar.