KUCHING: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menubuhkan biro di empat zon masing-masing di Zon Selatan, Betong, Tengah dan Utara.
Zon Selatan merangkumi N1 – N26, Zon Betong (N27 – N40), Zon Tengah (N41 – N64) dan Zon Utara (N60 – N82).
Ketuanya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penubuhan biro di empat zon dan pelantikan ahli jawatankuasa itu bertujuan memampan aktiviti wanita peringkat cawangan serta ranting di setiap zon sepanjang sesi 2025-2028.
Zon Selatan diketuai Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee dan dibantu Dr. Christie Augustine Kiek diikuti Zon Betong diketuai Umang Nangku dan dibantu oleh ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Wanita Parti PBB di Ibu Pejabat Parti PBB, Jalan Bako di sini.
Fatimah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti berkata, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Fridah Osman mengetuai Zon Tengah dan dibantu oleh Nazrah Affendi, manakala Lilla Raja mengetuai Zon Utara dan dibantu Noriha Ali.
Aktiviti Biro itu, katanya, berteraskan tiga kunci utama iaitu kepimpinan dipimpin oleh Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, persiapan Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN-13) – Datin Sri Angelina Ujang dan pemerkasaan ekonomi wanita dipimpin Umang Nangku dan Natasha Nasa.
Pada mesyuarat tersebut, MT Wanita PBB l turut melantik Ketua dan Timbalan Ketua Zon bagi setiap 13 Zon Wanita PBB, katanya.
Fatimah berkata, pelantikan Ketua dan Timbalan Ketua Zon adalah dalam kalangan ahli jawatankuasa MT Wanita PBB dan sebilangannya juga dalam kalangan Ketua Wanita PBB Cawangan.
