Projek saluran pembentungan Kampung Gita dijangka siap akhir tahun ini

KUCHING: Projek pembinaan saluran pembentungan di Kampung Gita melibatkan tiga fasa utama dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzruddin Abdul Rahman berkata, pihaknya bersama Jabatan Pembentungan, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan kontraktor terlibat sentiasa berusaha mempercepatkan proses pembinaan.

“Salah satu isu utama yang dibangkitkan ialah keadaan jalan yang terjejas akibat kerja-kerja pembentungan. Bagi memastikan kelancaran pergerakan penduduk, jalan yang telah siap akan diserahkan kepada DBKU untuk diturap semula.

“DBKU telah mula menurap jalan-jalan yang tidak lagi terjejas oleh kerja-kerja pembentungan.

“Walaupun sepatutnya kontraktor bertanggungjawab menurap semula, kita telah meminta DBKU untuk bekerjasama bagi mempercepatkan proses ini demi keselesaan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas lawatan kerja ke projek penurapan semula jalan rosak berikutan kerja-kerja pembentungan di Lorong Kenanga 6, Jalan Pinang Jawa, di sini, hari ini.

Menurut beliau, lebih 80 peratus daripada keseluruhan projek telah disiapkan, dengan beberapa lokasi masih dalam proses pembinaan.