Simanggang Ramadan Fest sediakan peluang pada peniaga kecil

SIMANGGANG: Biro Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.28 Lingga menganjurkan Simanggang Ramadan Fest di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor yang merasmikan bazar tersebut turut mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai.

Sebanyak 1,000 bungkus bubur lambuk diagihkan kepada penduduk setempat yang dianjurkan Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) Lingga.

Sementara itu, Dayang Noorazah berkata, bazar Ramadan merupakan usaha kerajaan menyediakan peluang perniagaan kepada masyarakat dan golongan peniaga kecil pada bulan Ramadan.

Dalam rancak berniaga katanya, peniaga harus menjaga kebersihan dan kualiti makanan.

“Kebersihan gerai harus dijaga dengan rapi, malah lebih penting harga yang dikenakan mestilah berpatutan,” katanya.