Peluang kerjasama Sarawak-Australia sangat luas

KUCHING: Peluang antara Sarawak dan Australia untuk mewujudkan kerjasama dalam pelbagai bidang adalah sangat luas.

Perkara itu dibincangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semasa menerima kunjungan hormat Persuruhjaya Perdagangan Kanan New South Wales, Andrew Parker, Presiden Dewan Perniagaan Sarawak Australia, Rodger Chan dan rombongan di sini hari ini.

Antara peluang yang dibincang ialah tenaga diperbaharui termasuk tenaga hidro, solar dan biomass; kegiatan hiliran dan huluan minyak dan gas; hidrogen hijau; kelestarian pertanian, ekopelancongan dan pengilangan.

Sektor baharu seperti semikonduktor, aeroangkasa, bioteknologi dan peralatan perubatan menyediakan peluang baharu untuk pelabur.

Persuruhjaya Dagangan NSW yang menyambut baik peluang itu memberitahu, Sarawak dan Australia (NSW) boleh berkolaborasi terutama dalam sektor pelancongan, pengurusan sukap dan pendidikan kemahiran teknikal.

Awang Tengah mengalu-alukan lebih banyak kerjasama dan sesi libat urus diadakan antara kerajaan, sektor perniagaan dan pertukaran sosial serta kebudayaan untuk mengukuhkan lagi perhubungan yang sedia terjalin.

Hadir sama ialah Penasihat MINTRED, Dato Sri Mohd. Naroden Majais, Setiausaha Tetap MINTRED, Dzulkornain Masron, Timbalan Setiausaha Tetap MINTRED, Lo Sheau Sia dan CEO InvestSarawak, Timothy Ong.