Majlis Sejambak Kasih Hari Raya bantu golongan memerlukan

MIRI: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) komited membantu golongan memerlukan semasa musim perayaan menerusi Majlis Sejambak Kasih Hari Raya 2025.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, usaha itu diteruskan di Miri dengan seramai 738 penerima bantuan kebajikan menerima sumbangan itu pada tahun ini.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 150 penerima diraikan dalam Majlis Sejambak Kasih Hari Raya 2025, manakala selebihnya menerima bantuan melalui majlis lain dan dikreditkan terus ke akaun masing-masing,” katanya pada Majlis Sejambak Kasih Hari Raya Aidilfitri 2025 di sini, hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Dynasty Hotel Miri atas sumbangan hamper makanan bernilai RM150 kepada setiap penerima.

Malah, hotel itu juga telah memberi sokongan kepada tiga program Sejambak Kasih pada tahun ini, termasuk sambutan Tahun Baru Cina dan Hari Gawai.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datu Felicia Tan Ya Hua, Pengarah Urusan Dynasty Hotel Miri Tony Pui dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Semawi Mohamad.