120 penduduk Sebuyau dapat bakul makanan Ramadan

SEBUYAU: Kira-kira 120 golongan kurang bernasib baik di kawasan ini menerima bakul makanan daripada Pertubuhan Kebajikan Sahabat Amal Care Negeri Sarawak, semalam.

Mereka terdiri daripada golongan kelainan upaya (OKU), ibu tunggal, anak-anak yatim dan mereka yang berpendapatan rendah.

Sumbangan itu disampaikan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sahabat Amal Care Negeri Sarawak, Wan Lukmanhakim Wan Sajali dalam majlis ringkas yang diadakan di Masjid Al-Muflihin Daerah Sebuyau.

Program ini diadakan secara kerjasama Sahabat Amal Care Sarawak dan HIKMAH Sarawak.

Manakala, barangan makanan hasil sumbangan orang ramai dan ditaja oleh syarikat swasta seperti Yayasan OBYU, Ikhlas com, dan Maybank Relief.

Wan Lukmanhakim berkata, sumbangan itu bagi meringankan beban penduduk ketika membuat persiapan untuk berbuka puasa di bulan Ramadan dan menyambut Hari Raya nanti.

“Kita berharap penerima menerima sumbangan hati terbuka dan bersyukur rezeki Allah SWT,” katanya dalam ucapannya ringkasnya pada majlis berkenaan.

Wan Lukmanhakim yang juga seorang daripada ahli Majlis Tertinggi HIKMAH Sarawak juga menggalakkan penduduk supaya terus berusaha mencari rezeki mengikut kadar kemampuan masing-masing.

Turut hadir Pengerusi HIKMAH Ranting Sebuyau, Hadwad Tuanku Sekeran dan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al-Muflihin Daerah Sebuyau, Kr Arifin Takip.