SEBUYAU: Perkhidmatan Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySBRN) kini mempunyai seramai 29,400 pelanggan di seluruh Sarawak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, ini termasuk seramai 775 pelanggan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau bagi mendapatkan akses internet.
Berikutan itu, beliau menggalakkan penduduk luar bandar memanfaatkan perkhidmatan MySBRN yang ditawarkan pada harga lebih rendah.
“Dengan subsidi kerajaan sebanyak RM50, pelanggan hanya membayar RM20 sebulan untuk mendapatkan akses internet,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis Ziarah Ramadan dan Program Tanggungjawab Sosial Bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi di Masjid Darul Aman Sebangan, di sini, semalam.
Julaihi menjelaskan, sebanyak 618 menara telah dibangunkan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan setakat ini sebanyak 453 menara itu sudah beroperasi.
“Majoriti menara ini menggunakan teknologi Multi-Operator Core Network (MOCN), membolehkan pengguna semua rangkaian telefon mendapatkan akses internet,” katanya.
Menurut beliau, inisiatif ini sebahagian usaha kerajaan negeri untuk mencapai sasaran 7,000 menara telekomunikasi dibina seluruh Sarawak.
