KUCHING: Wilayah New South Wales (NSW), Australia, mengakui Sarawak memiliki potensi besar dalam tenaga diperbaharui terutama tenaga hidro, kata Persuruhjaya Kanan Perdagangan NSW, Andrew James Paker.
Beliau berkata, sehubungan itu NSW mendapati peluang besar untuk mewujud kerjasama dengan Sarawak dalam sektor terbabit.
NSW yang memiliki kepakaran dalam tenaga hijau, berminat untuk bekerjasama dengan Sarawak dalam inisiatif kemajuan kelestarian tenaga, katanya semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni di sini semalam.
Dalam kunjungan hormat itu, Andrew Parker menzahirkan minat NSW untuk mengukuhkan hubungan dengan Sarawak terutama dalam bidang tenaga diperbaharui dan kelestarian alam sekitar.
Sebagai sebuah wilayah terkemuka Australia dalam sektor tenaga, NSW katanya, boleh berkongsi kepakaran teknologi dan pengalaman dalam membangunkan sumber diperbaharui seperti solar, angin dan tenaga hidro.
Dr. Hazland yang mengalu-alukan minat NSW berkata, Sarawak sedang giat membangunkan tenaga mampan untuk memenuhi keperluan masa hadapan.
Beliau berkata, usaha strategik Sarawak membangunkan sumber tenaga sejajar dengan matlamat kelestarian global, meningkatkan tenaga lebihan, mengurangkan kesan ke atas alam sekitar dan meletakkan Sarawak sebagai peneraju dalam tenaga diperbaharui di Asia Tenggara.
Sarawak yang masih kaya dengan sumber semula jadi akan mencapai kemajuan ketara dalam tenaga hijau, katanya dan menambah, potensi tenaga hidro, tenaga solar dan biomass Sarawak yang belum diterokai adalah besar.
Justeru, katanya, ini akan meletakkan Sarawak sebagai pemain utama dalam peralihan tenaga di wilayah ASEAN.
Beliau menegaskan, komitmen Sarawak adalah untuk mengurangkan pelepasan karbon dan beralih kepada ekonomi rendah karbon selari dengan matlamat NSW untuk meningkatkan inovasi dalam penyelesaian tenaga bersih.
