KUALA LUMPUR: Senator-Senator dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini menegaskan bahawa tuntutan Sarawak untuk mendapatkan semula hak penuh ke atas sumber minyak dan gas adalah berasaskan fakta sejarah dan perundangan yang sah, serta semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ahli Dewan Negara, Senator Dato Ahmad Ibrahim berkata, barisan Senator dari GPS ingin memperbetulkan pelbagai dakwaan yang mengelirukan berkaitan sejarah dan perundangan hak minyak dan gas Sarawak.
Jelasnya, sebelum penyertaan Sarawak dalam Malaysia pada m 1963, negeri itu sudah memiliki kawalan penuh terhadap sumber minyak dan gas, sebagaimana dibuktikan melalui Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 1958) dan UNCLOS 1954.
“Sebelum penyertaan dalam Malaysia pada 16 September 1963, Sarawak sudah mempunyai kawalan penuh ke atas sumber minyak dan gasnya.
“Ini dibuktikan melalui OMO 1958 yang memberi Sarawak hak eksklusif untuk mengawal, mengurus, dan memberikan lesen eksplorasi minyak dan gas di dalam wilayahnya manakala UNCLOS 1954 yang diterima pakai oleh Sarawak menetapkan sempadan pelantar benua negeri sejauh 200 batu nautika.
“Sebaliknya, Malaya ketika itu tidak mempunyai sebarang undang-undang berkaitan hidrokarbon kerana tiada aktiviti eksplorasi minyak dan gas di perairannya. Ini sekali gus membuktikan bahawa Sarawak telah pun mempunyai rangka kerja perundangan sendiri yang sah dalam menguruskan sumber asli negeri ini,” katanya dalam sidang media di Parlimen di sini, hari ini.
Kenyataan ini dibuat susulan laporan dalam ‘Free Malaysia Today’ bertarikh 15 Mac 2025 yang mendakwa Sarawak perlu menghentikan perselisihan mengenai hak Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) terhadap sumber tenaga negeri itu.
Dalam pada itu, beliau turut mengkritik tindakan Kerajaan Persekutuan yang mengubah sempadan laut Sarawak secara sepihak pada 1969, yang katanya bertentangan dengan semangat MA63 dan tanpa persetujuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
“Selepas tragedi 13 Mei 1969, Kerajaan Persekutuan menggunakan kuasa darurat untuk mengehadkan sempadan laut Sarawak kepada hanya tiga batu nautika melalui Ordinan Darurat No. 7/1969 pada 9 Ogos 1969 dan Ordinan Darurat No. 10/1969 pada 8 November 1969.
“Tindakan ini telah mengambil alih kawalan ke atas perairan dan sumber minyak serta gas Sarawak tanpa persetujuan negeri, walaupun Perkara 2(b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa sebarang perubahan ke atas sempadan negeri mesti mendapat kelulusan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Yang di-Pertua Negeri,” ujar beliau lagi.
Menurutnya, keputusan ini bukan sahaja bertentangan dengan semangat MA63 tetapi juga merupakan satu penafian hak Sarawak ke atas sumber asli yang selama ini berada dalam bidang kuasa negeri.
Beliau juga menegaskan bahawa perjanjian 1976 yang didakwa menyaksikan Sarawak menyerahkan hak minyak kepada PETRONAS, tidak sah dari sudut perundangan negeri kerana tidak dibawa untuk kelulusan DUN Sarawak.
Sebagai langkah lanjut, GPS menuntut agar Kerajaan Persekutuan mengembalikan hak Sarawak ke atas minyak dan gas, mengkaji semula perubahan sempadan laut, dan memastikan sebarang rundingan berkaitan sumber asli dilakukan secara telus.
“Kami menegaskan bahawa perjuangan GPS untuk menegakkan keadilan mengikut lunas perlembagaan, bukan sekadar perebutan kuasa. Kami berikrar untuk terus memperjuangkan hak Sarawak sehingga keadilan ini dicapai,” tegasnya.
