LAKMD bantu 300 asnaf raikan Syawal

DARO: Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Daro (LAKMD) meneruskan inisiatif membantu golongan memerlukan menjelang sambutan Syawal dengan menghulurkan sumbangan kepada 300 asnaf dari 15 kampung di Tanah Besar Daro.

Majlis diadakan sempena Majlis Ceramah Sambutan Nuzul Al-Quran 1446H/2025M dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya di Masjid Al-Muhsiniin, di sini, malam tadi.

Ia dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro merangkap Pengerusi LAKMD, Safiee Ahmad bersama lebih 350 penduduk setempat.

Selain itu, Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Daro turut menyumbang bubur pedas kepada asnaf sebagai tanda keprihatinan terhadap masyarakat.

Terdahulu, tazkirah disampaikan Ustaz Zharif Hilmi Mohd Nusi yang menekankan kepentingan menghayati Al-Quran dan memperingati peristiwa agung turunnya wahyu pertama kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.