LCDA santuni anak yatim, asnaf

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama isteri Puan Sri Datuk Amar Jumaani Tuanku Bujang meluangkan masa menyempurnakan Majlis Iftar Darul Hana 2025 anjuran Lembaga Pembangunan & Lindungan Tanah (LCDA) di sini, hari ini.

Seramai 600 tetamu menghadiri majlis tersebut, terdiri daripada kakitangan LCDA, ketua-ketua masyarakat Kampung Seberang Hilir, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan serta wakil media yang turut memainkan peranan penting dalam menjayakan Projek Pembangunan Darul Hana.

Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) tahunan LCDA untuk membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan sepanjang Ramadan serta mempersiapkan untuk menyambut Hari Raya.

Dalam majlis tersebut, Abang Johari dan isteri telah menyempurnakan simbolik penyerahan Sumbangan Hari Raya berjumlah RM18,750 kepada 40 wakil daripada keseluruhan 125 penerima yang terdiri daripada anak yatim dan asnaf.

Sumbangan ini melibatkan penerima daripada 13 kampung di kawasan Projek Pembangunan Darul Hana dan setiap penerima menerima RM150.

Turut diadakan penyerahan Zakat Perniagaan 2024 oleh LCDA berjumlah RM2,297,726 kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) yang disampaikan oleh Pengurus Besar LCDA, Datu Sr. Zaidi Mahdi kepada Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Pengerusi LCDA Holdings Sdn Bhd Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Dato Husain serta ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan Kumpulan Syarikat LCDA.