Peruntukan projek pembangunan sosial DUN Lingga dilulus

SIMANGGANG: Peruntukan berjumlah RM76 juta diluluskan bagi melaksanakan projek pembangunan sosial di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, projek terbabit ialah pembinaan kawasan Rehat dan Rawat (RNR) dengan kos RM40 juta, Dewan Simposium Batang Lupar (RM16 juta) dan Kompleks Sukan Lingga (RM20 juta).

“Ketiga-tiga projek telah diluluskan menerusi Jawatankuasa Pemandu Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA),”katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pembangunan Sosial SADA berkata demikian ketika mempengerusikan sesi perbincangan projek pembangunan sosial SADA bagi DUN N.28 Lingga di Bilik Mesyuarat Utama SADA, Wisma SADA, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh, Pegawai Tadbir Khas SADA, Datu Indit Bangai, Jurutera Jabatan Kerja Raya Bahagian Sri Aman, Ir. Minjo Simanding, Jurutera Pengairan dan Saliran Bahagian Sri Aman, Mazolizam Mohamad, Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang dan Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani.