BETONG: Sebanyak RM3.5 juta diperuntuk untuk membaik pulih Jalan Tanjung Assam di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (MARRIS) bagi penyelenggaraan jalan rosak.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, projek ini amat dinantikan penduduk Kampung Tanjung Assam sejak sekian lama.
“Ia akan memudahkan urusan harian penduduk supaya lebih selamat dan berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Kampung Tanjung Assam bersama Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon 1 Saribas di sini, semalam.
Razi turut menyatakan kerja-kerja pembinaan jalan kebun di kampung tersebut oleh Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) akan membuka peluang ekonomi kepada penduduk.
