Projek jalan dari Long Lopeng ke Ba’Kelalan dilulus – Henry

LAWAS: Pelaksanaan projek jalan dari Long Lopeng ke Ba’Kelalan akan melalui proses tender pada suku pertama tahun ini.

Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong berkata, projek terbabit menggunakan peruntukan lebih RM90 juta di bawah Kerajaan Persekutuan dan sebahagian jajaran Laluan Perhubungan Sabah-Sarawak (SSLR).

“Projek itu sudah dilulus dan projek itu dijalankan hingga ke sempadan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di sini, hari ini.

Henry berkata, projek jalan ini akan membuka peluang ekonomi kepada penduduk kampung kerana memudahkan penghantaran produk pertanian ke kawasan bandar dan ke negara jiran.