Jambatan Batang Rajang cetus fenomena di Sarikei

TANJUNG MANIS: Pembukaan Jambatan Batang Rajang pada 27 Mac lalu, mencetuskan fenomena peningkatan luar biasa jumlah kenderaan sehingga menyebabkan kesesakan di Sarikei dan kawasan Feri Batang Paloh.

Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, fenomena ini membuktikan kejayaan pembangunan infrastruktur yang telah lama dirancang dan kini memberi kesan langsung kepada mobiliti serta ekonomi.

“Jumlah kenderaan semakin bertambah, lebih-lebih lagi dalam suasana sambutan Hari Raya.

“Inilah nikmat pembangunan rakyat dapat lihat dan rasai sendiri,” katanya pada Jelajah Majlis Ramah Tamah Aidilfitri DUN Kuala Rajang di Dewan IKS Tanjung Manis, semalam.

Katanya, pembukaan jambatan ini adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang yang dimulakan sejak pembukaan Tanjung Manis pada 1990, walaupun terjejas akibat krisis ekonomi global lewat 90-an.

“Meskipun ketika itu bilangan penduduk masih sedikit, kita teruskan perancangan kerana yakin dengan potensi besar kawasan Lembah Rajang secara keseluruhan,” tambahnya.

Dengan pelbagai projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan, beliau optimis bahawa Tanjung Manis bakal muncul sebagai nadi pembangunan Wilayah Tengah.