PPWS berjaya lahirkan wanita berdikari – Nancy

KUALA LUMPUR: Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) membuktikan keupayaan luar biasa dalam memperkasakan wanita di Sarawak sejak penubuhannya pada 1962.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, ini khususnya melalui pelbagai program latihan, kepimpinan dan keusahawanan yang menyasarkan wanita pelbagai peringkat usia dan latar belakang, termasuk dari kawasan luar bandar.

“Melalui inisiatif berterusan, pertubuhan ini berjaya melahirkan ramai wanita berdikari, berkemahiran dan berdaya saing,”katanya.

Beliau sehubungan itu mengucapkan tahniah kepada PPWS sempena sambutan ulang tahun ke-63 pertubuhan itu tahun ini.

Nancy yang juga Ahli Seumur Hidup PPWS juga menyatakan rasa bangganya kerana dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan pertubuhan iru yang telah banyak mencipta impak positif terhadap pembangunan sosial dan ekonomi wanita Sarawak.

“Saya menyaksikan sendiri semangat kesukarelawanan dan kepimpinan akar umbi yang digerakkan oleh ahli-ahli PPWS. Ini adalah bukti keutuhan jalinan komuniti wanita di Sarawak yang sentiasa progresif dan berpandangan jauh,” tambah beliau.

Beliau berharap agar PPWS terus relevan dan menjadi rakan strategik kepada kerajaan dalam memperjuangkan kebajikan serta memperkasa wanita menghadapi cabaran masa kini dan masa depan.