James Ritchie seorang sahabat berjiwa besar, tekun – TYT

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi memberi penghormatan terakhir kepada wartawan veteran, mendiang James Ritchie di Gereja St. Thomas, Kuching.

Ketibaan TYT dan isteri sekitar jam 10:05 pagi disambut oleh balu serta anak mendiang dalam suasana hiba.

TYT dan isteri meluangkan kira-kira 20 minit memberi penghormatan, sebagai simbol penghargaan terhadap sumbangan mendiang yang amat signifikan dalam dunia kewartawanan dan usaha pendokumentasian sejarah negeri ini.

TYT menyifatkan pemergian James Ritchie sebagai satu kehilangan besar kepada Sarawak, khususnya dalam lapangan media dan sejarah.

“Pagi ini sepatutnya menjadi detik pertemuan kami untuk membincangkan sebuah naskhah yang sedang diusahakan bersama. Namun, ketentuan Ilahi mendahului segala perancangan manusia.

“Apa yang dijangka sebagai permulaan sebuah karya, kini menjadi lembaran penutup sebuah kehidupan,” katanya sebak.

Beliau turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian seorang sahabat yang disifatkannya sebagai berjiwa besar, tekun, dan sentiasa komited dalam merakamkan peristiwa penting demi tatapan generasi akan datang.

Mendiang James Ritchie menghembuskan nafas terakhir di Hospital Umum Sarawak, Sabtu lalu pada usia 74 tahun.

Jenazahnya akan disemadikan di Taman Peringatan Nirvana, Bau, esok. – UKAS