KUCHING: Penyelesaian rundingan antara Petroleum Nasional Bhd (Petronas) dengan Petrolium Sarawak Bhd (Petros) berhubung minyak dan gas sedang berjalan dan perlu dicapai secara menang-menang.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, dalam mencari penyelesaian rundingan itu, Premier Sarawak lebih kepada mencari kaedah menang-menang dan bukannya dalam kerangka lingkungan perlembagaan.
“Semua penyelesaian rundingan itu melibatkan pelbagai pihak termasuk di bawah beliau sendiri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MA63,” katanya ditemui media selepas merasmikan Minggu ADR Borneo 2025 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol.
Beliau diminta mengulas kenyataan Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdullah yang mencadangkan agar Peguam Negara dan Peguam Besar Negeri duduk semeja dalam isu tuntutan antara dua kerajaan.
Menurut Fadillah, penyelesaian rundingan itu kebiasaannya melibatkan banyak pihak termasuk Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Peguam Besar Negeri dan persoalan perundangan pula hanya boleh diselesaikan melalui mahkamah.
Bagaimanapun pendekatan sekarang katanya, untuk mencari kaedah menang-menang disebabkan perundingan nanti memerlukan bukan sahaja peringkat antara Perdana Menteri dan Premier Sarawak, tetapi juga melibatkan Peguam Besar Negeri Sarawak dan Peguam Besar negara.
Berkaitan perkara lain dalam tuntutan MA63, beliau berkata, ia sedang berjalan, manakala penyelesaian rundingan antara Petronas dengan Petros adalah perkara lain.
