SPAOH: Program kemahiran terus dipergiat bagi memperkasa golongan wanita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban serta membuka peluang ekonomi kepada masyarakat luar bandar selaras agenda pembangunan inklusif negara.
Program latihan anjuran Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Saban itu menekankan kemahiran praktikal berasaskan keusahawanan, termasuk pembungkusan makanan yang memenuhi piawaian pasaran.
Ketua Wanita Cawangan Bukit Saban, Natasha Nasa Uggah, berkata, inisiatif berkenaan bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan wanita yang berupaya menjana pendapatan sendiri melalui perniagaan kecil dan sederhana di luar bandar.
Menurutnya, setiap ranting diperkenalkan dengan kemahiran berbeza bagi membolehkan peserta memulakan perniagaan secara setempat.
Beliau menambah, penganjuran program tersebut turut selari dengan persediaan komuniti menjelang pembukaan projek Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) di Bebuling yang dijangka merancakkan aktiviti ekonomi dan meningkatkan permintaan produk tempatan.
Sementara itu, Ketua Wanita Ranting PBB Kubal Ulu, Lily Lulong Ngumbang, menyifatkan program berkenaan sebagai langkah proaktif membantu wanita luar bandar meningkatkan kemahiran serta keyakinan diri untuk terlibat secara aktif dalam kegiatan sosioekonomi, terutama dengan pembangunan infrastruktur baharu di Spaoh.
Pandangan sama dikongsi Ahli Biro Wanita Nanga Linsom, Lucy Kasa, yang berkata program berkenaan memberi pendedahan serta suntikan keyakinan kepada wanita yang sebelum ini kurang mahir dalam penyediaan makanan secara komersial.
Di samping itu beliau merakamkan penghargaan kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas atas sokongan berterusan terhadap pemerkasaan wanita.
Kira-kira 70 peserta daripada enam biro wanita dan turut disertai inisiatif kebajikan melalui penyerahan 96 bakul makanan.
Manakala sepanjang Januari ini sebanyak lima lagi program pemerkasaan wanita dijadual berlangsung di DUN Bukit Saban.
