KUCHING: Sarawak memerlukan pendekatan pengurusan banjir yang lebih tersusun dan berkesan bagi menghadapi risiko bencana yang semakin kerap berlaku.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, usaha ini bukan hanya tertumpu semasa musim Monsun Timur Laut, malah perlu dirancang sebagai langkah jangka panjang demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri.
“Kepentingan rakyat mesti sentiasa diutamakan dalam setiap tindakan yang diambil oleh kerajaan dan agensi berkaitan, khususnya dalam situasi bencana alam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi ke Bilik Gerakan Banjir Negeri di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, petang tadi.
Lawatan tersebut bertujuan meneliti secara langsung pengurusan operasi serta perkembangan semasa berkaitan banjir di Sarawak.
Ketibaan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah disambut oleh kepimpinan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang diketuai Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, bersama beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.
Menurut beliau, kerjasama erat antara semua pihak terlibat amat penting bagi mengurangkan kesan buruk banjir, terutamanya dalam melindungi nyawa serta memastikan kebajikan mangsa terpelihara sepanjang tempoh bencana.
Terdahulu, sepanjang lawatan, beliau telah diberikan taklimat terperinci mengenai keadaan banjir semasa, termasuk jumlah penduduk terjejas yang melibatkan ribuan mangsa dari beberapa daerah, serta pengaktifan puluhan Pusat Pemindahan Sementara bagi menempatkan mereka yang terkesan.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota keselamatan, petugas barisan hadapan dan agensi berkaitan atas komitmen tinggi dalam operasi menyelamat dan bantuan.
