KOTA SAMARAHAN: Kerjasama erat antara kerajaan dan komuniti menjadi elemen penting dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penglibatan aktif pelbagai agensi bersama rakyat mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memupuk keharmonian serta meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian.
“Program berasaskan komuniti berperanan sebagai platform penting dalam merapatkan hubungan antara kerajaan dan rakyat, di samping meningkatkan tahap kepercayaan melalui interaksi secara langsung dan inklusif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri Kota Samarahan yang berlangsung meriah hari ini dengan kehadiran lebih 700 pengunjung.
Dalam majlis tersebut, Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 20 golongan asnaf sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan rakyat.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap ADUN Muara Tuang, Datuk Idris Buang.
