Projek BCCK2 giat dilaksana, dijangka siap Mac 2028

KUCHING: Projek pembinaan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) 2 dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2028.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, projek itu bakal mengukuhkan lagi peranan Kuching sebagai hab penganjuran persidangan dan acara antarabangsa di rantau ini.

“Projek itu berharga RM550 juta dan sedang rancak dilaksanakan,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 hari ini.

Katanya, BCCK2 mampu memuatkan seramai 9,500 pengunjung pada satu-satu masa berbanding 5,000 kapasiti di BCCK sedia ada.

Menurut Abdul Karim, pembesaran BCCK adalah selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk muncul sebagai destinasi terkemuka bagi acara perniagaan di rantau ASEAN.

“Acara perniagaan merupakan komponen penting dalam strategi pelancongan Sarawak terutamanya dalam mewujudkan dan mengukuhkan imej destinasi negeri ini dalam menjana pendapatan, pekerjaan dan asing pelaburan.

“Penyelarasan dan promosi pusat konvensyen diwartakan di bawah bidang kuasa kementerian saya,” katanya

Jelasnya, berdasarkan data daripada Mesyuarat dan Konvensyen Asia, acara perniagaan global diunjurkan mencecah USD2.3 trilion menjelang 2032, berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 11.6%.

Katanya, Sarawak mempunyai potensi untuk menjadi pemain utama dalam pasaran pelancongan kesihatan ASEAN dengan ketersediaan fasiliti perubatan termaju dan daya tarikan keindahan semula jadi dan kepelbagaian biologinya.