KUCHING: Sarawak dijangka menerima dua unit pertama gerabak Transit Aliran Autonomi (ART) menjelang suku pertama 2026 sebagai sebahagian pelaksanaan awal sistem pengangkutan berasaskan hidrogen di negeri ini.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin dalam sidang media selepas sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Menurutnya, penghantaran gerabak ART yang ditempah dari China akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Kita telah menempah keseluruhan sebanyak 38 unit dan penghantarannya akan dibuat berperingkat. Dua unit pertama akan sampai awal tahun depan sebagai permulaan,” jelasnya.
Tempahan ART ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri untuk merombak dan memperkukuh sistem pengangkutan awam melalui projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
Gerabak ART tersebut merupakan kenderaan berkuasa hidrogen yang akan disepadukan dengan kemudahan infrastruktur sedia ada yang sedang dibangunkan secara berperingkat.
Bagi melengkapkan sistem ini, sejumlah 55 bas hidrogen juga akan diperkenalkan bagi menyokong perjalanan jarak pendek dalam lingkungan tiga kilometer dari setiap stesen ART, bertindak sebagai pengangkutan sambungan awal dan akhir.
Inisiatif ini dijangka membawa perubahan besar kepada mobiliti bandar serta menyumbang kepada matlamat Sarawak menjadi peneraju tenaga hijau di rantau ini.
