KUCHING: Batik Air bakal melancarkan laluan baharu yang menghubungkan Subang dan Kuching bermula 28 Julai ini, sekaligus menambah pilihan perjalanan udara ke negeri ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin memberitahu, sehingga suku pertama tahun ini, Sarawak menerima sebanyak 37 penerbangan antarabangsa setiap minggu, selain purata 427 penerbangan domestik mingguan dari pelbagai negeri dan wilayah persekutuan.
“Laluan udara ke Sarawak kini dilayani oleh pelbagai syarikat penerbangan termasuk Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Firefly, MASwings, AirAsia Indonesia, Scoot dan Royal Brunei Airlines,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Beliau turut menyatakan bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) merekodkan jumlah penerbangan tertinggi iaitu sebanyak 216 penerbangan seminggu. Miri mencatatkan 99 penerbangan, diikuti Sibu (55), Bintulu (45), Mulu (tujuh), Limbang (tiga) dan Lawas (dua) penerbangan setiap minggu.
Pada suku pertama 2025, sebanyak 30,980 pergerakan pesawat telah direkodkan di semua lapangan terbang dan STOLport Sarawak, membawa seramai 2.5 juta penumpang.
Jumlah ini menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 31,230 pergerakan dengan 2.3 juta penumpang.
“Ini mencerminkan pertumbuhan sebanyak lapan peratus berbanding tahun sebelumnya,” ujarnya.
Dalam aspek kargo udara pula, sebanyak 14,438 tan kargo telah diuruskan setakat suku pertama 2025, melonjak 23.3 peratus daripada 11,072 tan yang direkodkan pada suku yang sama tahun lepas.
Beliau menjelaskan bahawa barangan yang dihantar melalui perkhidmatan kargo tersebut melibatkan pelbagai kategori termasuk produk elektronik, peralatan industri minyak dan gas, barangan e-dagang, tekstil, pakaian, serta barangan mudah rosak seperti buah-buahan dan bunga segar.
“Lonjakan ini jelas menunjukkan peningkatan permintaan dan kemajuan dalam sambungan logistik udara ke seluruh pelosok Sarawak,” tambahnya.
