PUSA: Kontraktor yang terlibat dalam pembinaan Jambatan Saribas No.2 diberi tempoh selama dua minggu untuk mencari jalan penyelesaian.
Ini bagi membolehkan projek tersebut dilaksana mengikut jadual yang dirancang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pihaknya akan memantau perkembangan semasa projek yang bernilai RM385 juta.
Katanya, kontraktor berdepan kekurangan tenaga pekerja dan jentera selain beberapa skop kerja masih belum dilakukan.
Katanya, walaupun diberikan lanjutan masa, namun projek tersebut masih tertangguh selama 34 hari dan ketika ini projek itu baharu mencapai kira-kira 41 peratus siap.
“Isu barang-barang yang ditempah dari China lewat tiba di tapak pembinaan juga faktor kelewatan projek.
“Disebabkan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) memberi tempoh dua minggu kepada kontraktor untuk menyelesaikan isu ini dan kita akan memantau perkembangan projek.
“Jika gagal, kita akan mengambil tindakan seterusnya. Mungkin memulakan proses penamatan kontrak,” katanya kepada media selepas menghadiri taklimat projek dan meninjau tapak projek itu hari ini.
Untuk rekod, ini merupakan kali ketiga Uggah melawat tapak projek tersebut.
Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak menambah jambatan tersebut sangat mustahak kerana ia bakal memberi manfaat kepada penduduk sekitar.
Selain itu, ia juga memendekkan masa perjalanan menuju ke bandar utama seperti Sibu, Bintulu mahupun ke utara Sarawak apabila siap kelak.
“Kerajaan Sarawak prihatin dengan permasalahan penduduk di kawasan luar bandar dan pembangunan prasarana itu merupakan inisiatif bagi memberi kemudahan kepada rakyat di negeri ini,” jelasnya lagi.
