Pulau Datuk Kong pelancongan warisan

KUCHING: Pulau Datuk Kong di tengah-tengah Batang Kemena, Bintulu akan dilindungi dan dipromosikan sebagai destinasi pelancongan warisan, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, Sarawak kini dalam proses mewartakan pulai terbabit sebagai tapak warisan di bawah Ordinan Warisan Sarawak 2019.

Ini bagi melindungi pulau terbabit dan sesuai dijadikan destinasi pelancongan wairsan, katanya pada majlis penyampaian buku “Sarawak Folktales For All” di Baitulmakmur II, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, cerita rakyat masyarakat Cina “Tiga Kawan Baik Dan Anjing Lapar” yang berlatarkan Pulau Datuk Kong mengukuhkan kepentingan menghormati semua makhluk hidup di pulau berkenaan.

Cerita rakyat masyarakat Cina itu juga antara lima cerita rakyat dalam koleksi buku Sarawak Folktales For All yang bertujuan memupuk pemahaman dan penghayatan warisan masing-masing, tegas beliau.

“Tambahan pula, kami memanjangkan koleksi ini kesemua 1,254 sekolah rendah dan 211 perpustakaan di Sarawak, memastikan setiap institusi pendidikan dan perpustakaan mendapat akses kepada khazanah budaya ini,” tambahnya.

Karim berkata, cerita rakyat lain dalam koleksi yang terdapat dalam bahasa Inggeris, Melayu dan Cina ialah “Kumang dan Ular Sawa Yang Tidak Bersyukur” daripada masyarakat Iban dan “Balu dan Katak Berpakaian Warna-warni” daripada masyarakat Bidayuh.

Selain itu “Modi dan Batu Ajaib” daripada masyarakat Punan dan “Ikan Patin dalam kalangan Melayu Sarawak” cerita rakyat Melayu mendedahkan kepercayaan mistik yang menyelubungi ikan patin, katanya..

Karim turut mengumumkan peruntukan tahunan berjumlah RM10 juta kepada tabung itu dan mengalukan permohonan daripada individu, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat tempatan untuk menyumbang kepada pengeluaran, pembiakan, promosi, pengedaran dan pengkomersilan produk warisan Sarawak.