Gagal siap projek ikut jadual, Klinik Kesihatan Lubok Antu ditender semula

LUBOK ANTU: Kontraktor membina projek Klinik Kesihatan (KK) Lubok Antu jenis 4 berharga yang gagal menyiapkan mengikut jadual telah ditamatkan kontrak.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni berkata, projek berharga RM28.9 juta itu dijangka ditender semula pada Jun atau Julai tahun ini bagi mengelak dikategorikan sebagai projek sakit.

Kontraktor terdahulu hanya mampu menyiapkan projek itu 10 peratus, katanya kepada media semasam melakukan lawatan kerja ke tapak projek itu di sini, hari ini.

Beliau berkata, kegagalan menyiapkan projek itu mengikut peratus yang dikehendaki telah menyebabkan tender kontraktor berkenaan ditamatkan Julai tahun lalu.

“Ia menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimennya yang menyatakan kerisauan terhadap pelaksanaan projek sakit itu,” katanya.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, katanya, memngambil keputusan dengan membuka semula tender projek KK Lubok Antu jenis 4 bagi menyelesai masalah.

Katanya, kerja pembinaan KK Lubok Antu jenis 4 akan bermula sebaik sahaja tender dianugerahkan kepada kontraktor terpilih dengan projek itu bakal selesai dalam tempoh 24 bulan dan mulai digunakan pada 2027.

Hadir sama Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi.