Kerosakan tidak jejas khidmat HSA ll

SIMANGGANG: Kerosakan siling dan sistem perparitan adalah antara sebanyak 1,206 kerosakan yang dikesan berlaku di Hospital Sri Aman (HSA) ll sejak mula digunakan 1 September 2022.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni berkata, bagaimanapun secara keseluruhannya kerosakan itu tidak menjejaskan pengoperasian hospital baharu itu.

Kerosakan siling dikesan pada bahagian unit farmasi dan beberapa wad pesakit disebabkan faktor kelembapan, katanya kepada media selepas melakukan lawatan kerja sehari ke hospital itu di sini.

“Kita sudah berjumpa dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dijangka melantik pihak ketiga bagi menyelesai masalah siling,” katanya.

Lukanisman menegaskan, perjumpaan akan diadakan dengan kontraktor bagi menyelesai masalah tekanan air rendah di hospital baharu itu.

“Ia berlaku disebabkan masalah teknikal yang melibatkan peningkatan kualiti perkhidmatan di hospital berkenaan.

“Oleh itu, kita akan berusaha mencari peruntukan bagi melakukan kerja mengubah suai dan memperbaharui blok lama Hospital Sri Aman I bagi mengoptimumkan kemudahan hemodialisis,” katanya.

Lukanisman menambah, pihaknya akan menjemput beberapa syarikat telekomunikasi bagi menyelesai masalah kelemahan rangkaian telekomunikasi di HSA II.

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor.

Dalam lawatan kerja itu, Lukanisman bersama rombongan mendengar taklimat daripada Pemangku Pengarah HSA II, Dr Sim Poh Ling.