BETONG: Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu mengumumkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM30,000 kepada Lembaga Khaiirat dan Amanah Melayu Betong (LKAMB).
Sebanyak RM10,000 peruntukan itu dari beliau dan RM20,000 dari Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas bagi membiayai sebahagian kos LKAMB menganjurkan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Melayu Betong di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, di sini, malam tadi.
Beliau turut menyatakan sumbangan sebanyak RM4,000 kepada semua surau-surau, RM5,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan RM7,000 untuk masjid-masjid di kawasan Kampung Melayu Betong.
Di majlis itu, turut disampaikan sumbangan daripada LKAMB berjumlah keseluruhan sebanyak RM80,000 iaitu kepada lima surau (RM10,000 setiap surau), sebuah masjid (RM15,000), Persatuan Silat Betong (RM5,000) dan PPKMB (RM10,000).
Turut hadir ialah Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abu Nawas, Timbalan Residen Bahagian Betong, Hamdan Katang, Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh, Pengerusi LKAMB, Ustaz Abang Borhanuddin Abang Ahmad Masunie, Penghulu Abang Suhailie Abang Pay.
