KUCHING: Sabah dan Sarawak menyatakan komitmen memperkukuh kerjasama lebih tersusun dan formal bagi mempercepatkan pembangunan wilayah Borneo.
Timbalan Ketua Menteri II Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, ini menerusi penyelarasan dalam pelbagai sektor utama, termasuk infrastruktur jalan raya, utiliti, pelabuhan, logistik dan pembangunan perindustrian.
Katanya, kerjasama berkenaan akan dimulakan melalui penyelarasan di peringkat pegawai kanan kementerian kedua-dua negeri sebagai langkah awal untuk memperkukuh pelaksanaan pelbagai inisiatif bersama.
Menurutnya, hubungan erat antara Sabah dan Sarawak amat penting kerana kedua-dua negeri saling melengkapi.
Ini termasuk dari sumber, kemudahan infrastruktur serta potensi pembangunan ekonomi yang mampu memberi manfaat kepada seluruh wilayah Borneo.
“Sabah memerlukan Sarawak, dan Sarawak juga memerlukan Sabah untuk memastikan wilayah Borneo ini membangun dengan lebih baik melalui kerjasama yang lebih kukuh.
“Kami bersetuju untuk memformalkan kerjasama ini, bermula di peringkat pegawai kanan kementerian di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, di Wisma Sumber Alam di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ewon berkata, perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama dalam sektor perindustrian memandangkan kedua-dua negeri mempunyai hubungan saling bergantung dalam rantaian bekalan serta pembangunan industri.
Selain itu, katanya, aspek penyelarasan logistik dan pergerakan barangan di kawasan sempadan turut dibincangkan, termasuk penggunaan Pelabuhan Sepanggar sebagai antara laluan strategik bagi penghantaran bahan binaan ke utara Sarawak.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcom Mussen Lamoh.
