KUCHING: Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Sarawak 1447H/2026M akan diadakan pada 6 Mac depan di Masjid Bandar Sri Aman, Bahagian Sri Aman.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, penganjuran tahun ini mengangkat tema “Ummah Maju Makmur, Insan Berilmu Menjulang Kelestarian Alam” sebagai teras pengisian dan mesej kepada masyarakat.
“Majlis berkenaan dijangka diserikan dengan keberangkatan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi selain kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Akhir Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Sarawak 1447H/2026M yang berlangsung di Persada Majma, hari ini.
Selain acara utama, beberapa program sokongan turut dirangka termasuk Forum Perdana Saudara Kita di Hotel Sri Simanggang pada 6 Mac, Seminar Al-Quran di Dewan SK (A) Sri Aman pada 5 Mac, serta pelaksanaan program Ziarah Ramadan bagi menyemarakkan sambutan.
