KUCHING: Sarawak semakin menonjol sebagai pemain penting dalam pembangunan industri aeroangkasa Malaysia, khususnya melalui kerjasama strategik dengan Kolej Universiti i-Cats yang dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan sektor di Borneo.
Ketua Pegawai Eksekutif NAICO Malaysia Profesor Dr Shamsul Kamar Abu Samah berkata, rancangan dan inisiatif yang dilaksanakan di Sarawak melalui i-Cats akan memberikan kesan signifikan kepada industri aeroangkasa di peringkat nasional.
“Dengan asas yang kukuh di Sarawak, kami berharap dapat melaksanakan aktiviti berkualiti tinggi dan bernilai tambah dalam sektor aeroangkasa,” kata beliau.
Beliau membuat kenyataan itu selepas mengetuai delegasi NAICO Malaysia mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di di Astana Negeri, hari ini.
Shamsul optimis bahawa i-Cats bakal berperanan sebagai pusat keilmuan aeroangkasa menjadi hab pemikiran dan inovasi yang menyokong perancangan industri aeroangkasa Sarawak secara teratur dan berimpak tinggi.
Beliau turut menjelaskan bahawa kunjungan hormat itu bertujuan memberi gambaran kepada Tun Pehin mengenai perkembangan l industri aeroangkasa Malaysia termasuk pelan strategik dan rangka tindakan pembangunan sektor tersebut.
Hadir sama Naib Presiden Bahagian Perkhidmatan Korporat NAICO Malaysia, Mohd Sazali Mohamed Amin; Naib Canselor i-Cats, Profesor Emeritus Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi; serta barisan akademik fakulti kejuruteraan aeroangkasa i-Cats, termasuk Profesor Dr Shuhaimi Mansor, Dr Nurul Zubaidah Zaki dan Abdul Qaiyum Alidin.
