NEW ZEALAND: Menyedari kepakaran New Zealand dalam pertanian dan ternakan, Sarawak bercadang memperluas kerjasama dengan negara berkenaan.
Langkah itu bagi meningkatkan kemahiran pegawai veterinar serta memperkukuh industri ternakan lembu tempatan.
Menurut Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, negeri ini merancang menghantar pegawai veterinar untuk menjalani latihan profesional dan penempatan teknikal di New Zealand bagi meningkatkan kepakaran dan pengalaman lapangan.
“Sarawak juga berminat menjalin kerjasama dalam sektor tenusu melalui perkongsian teknologi dan potensi usaha sama dengan pengeluar dari New Zealand.
“Dengan sekatan eksport lembu hidup, negeri ini sedang mempertimbangkan import semen lembu bagi meningkatkan kualiti pembiakan dan pertambahan populasi ternakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Rundi berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Biosekuriti dan Keselamatan Makanan New Zealand, Andrew Hoggard, yang juga Menteri Madya Pertanian dan Alam Sekitar hari ini bagi membincangkan peluang kerjasama strategik.
Rundingan tersebut menekankan hubungan kedua-dua pihak dalam inovasi pertanian, pembangunan industri tenusu, latihan veterinar, dan pengukuhan sistem biosekuriti Sarawak.
Selain itu, Sarawak berminat mempelajari rangka kerja biosekuriti New Zealand termasuk kawalan sempadan, pemantauan penyakit, dan mekanisme tindak balas kecemasan, bagi memperkukuh kesiapsiagaan veterinar dan keselamatan makanan di negeri ini.
