SEOUL: Majlis Dakwah Islam Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) memainkan peranan sebagai platform perkongsian ilmu antara Muslim dan bukan Muslim.
Premier Sarawak merangkap Presiden RISEAP, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu penting demi kebaikan sejagat, tidak hanya tertakluk kepada doktrin Islam semata-mata.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan pelbagai agama saling melengkapi dalam memperkasakan ummah dan pembangunan insan.
“RISEAP tidak hanya tertakluk pada doktrin Islam, tetapi ia berkongsi pengetahuan antara Muslim dan bukan Muslim untuk kebaikan manusia. Itu cara kita dan ia memberi manfaat kepada semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemuramah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan TVS selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif RISEAP Ke-36 di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Ekonomi Dato Hanifah Hajar Taib, Setiausaha Kehormat RISEAP Dato’ Mohamad Marzuki Mohamad Omar, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Mufti Sarawak Datuk Kipli Yasin serta Exco RISEAP yang lain.
Katanya, perkongsian ini menekankan penglibatan dalam melibatkan bidang teknologi dan budaya dengan negara lain yang mempunyai kepakaran tertentu.
Mengambil contoh New Zealand, Korea Selatan serta beberapa rakan strategik lain mempunyai kekuatan dan kemahiran tinggi dalam teknologi dan inovasi yang boleh dimanfaatkan bersama.
“Dalam pertanian, New Zealand boleh membantu kita memandangkan Malaysia mahu memajukan sektor pertaniannya melalui penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu.
“Manakala, Korea mempunyai kepakaran dalam bindang kejuruteraan, dan kita boleh bekerjasama dengan pihak mereka dengan menempatkan pelajar atau orang kita untuk mendalami teknologi mereka,” katanya.
Dalam konteks ini, Premier berkata kerajaan negeri juga sedang bekerjasama dengan pihak Samsung dalam bidang tenaga hijau.
Sementara itu, Premier Sarawak tampil dengan menyumbang dana berjumlah keseluruhan USD25,000 untuk pembangunan umat Islam di Seoul.
Beliau mengumumkan sumbangan tersebut semasa mengadakan lawatan ke Jabatan Halal Persekutuan Muslim Korea (KMF) selepas merasmikan organisasi tersebut.
Daripada jumlah tersebut, USD15,000 disumbangkan kepada KMF untuk menyediakan kelengkapan bagi pejabat baharu badan tersebut.
Manakala, USD10,000 lagi disumbangkan kepada Taska Prince Sultan bin Abdul Aziz yang terdahulunya turut dirasmikan oleh Premier Sarawak.
Selain itu, Premier Sarawak juga diberi penghormatan untuk merasmikan naik taraf Seoul Central Mosque, masjid tertua di negara tersebut. – UKAS
