Sarawak belum capai 100 peratus kanak-kanak hadiri tadika

LIMBANG: Sarawak mencatatkan hanya sebanyak 98.71 peratus anak-anak di tahun satu pernah menghadiri pendidikan awal kanak-kanak iaitu tadika atau prasekolah.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus berkata, ini belum mencapai 100 peratus kerana kemungkinan masih ada kawasan di wilayah ini tidak ada institusi pendidikan awal kanak-kanak.

Katanya, ini termasuk di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) atau melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

“Kerajaan melalui kementerian kami sedaya upaya mengenalpasti tempat yang tiada akses kepada pendidikan awal kanak-kanak dan kalau itu menjadi keperluan, maka kita akan menempatkan Sedidik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa perasmian Pesta Makan Tahun Kedayan Limbang 2024 di Kampung Tegarai, di sini, semalam.

Rosey sehubungan itu, meminta pihak termasuk ketua masyarakat agar memohon melalui wakil rakyat sekurangnya disediakan sebuah kelas pendidikan awal kanak-kanak.

Turut sama ialah Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.