IAC Bintulu komitmen kerajaan tingkatkan infrastruktur, perkhidmatan

BINTULU: Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) Bintulu di Jepak apabila siap kelak akan memacukan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan penduduk, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan menegaskan, projek IAC itu dijangka siap penghujung Mac 2025.

Dengan penambahan bangunan baharu itu, kerajaan yakin dapat menyediakan perkhidmatan lebih cekap kepada rakyat, katanya selepas mendengar taklimat kemajuan projek IAC Bintulu di sini hari ini.

Uggah menegaskan, projek itu mencerminkan komitmen Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Premier Sarawak untuk mewujudkan kemudahan pentadbiran yang moden, hijau dan terkini.

“Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) yang baharu ini akan menempatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri, sekali gus meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, kemajuan fizikal projek itu berada pada tahap 68.88 peratus berbanding 68.78 peratus yang dijadualkan.

Tarikh sasaran siap projek bangunan itu ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR) selepas perbincangan panjang mengenainya terdahulu, tegas beliau.

Uggah yakin projek tersebut akan siap mengikut tarikh sasaran berdasarkan keadaan cuaca yang baik pada masa ini selain isu berkaitan bahan binaan dan tenaga kerja juga sudah dapat ditangani.

Beliau meminta JKR untuk memantau dengan teliti kemajuan projek tersebut kerana Jambatan Bintulu-Jepak dijadual siap menjelang akhir Februari 2025.

Hadir sama menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus, Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo dan Pengarah JKR Sarawak, Ir. Dr. Cassidy Morris.