BINTULU: Semua projek yang dibiayai Kerajaan Sarawak di bahagian ini sedang berjalan lancar mengikut perancangan pelaksanaan.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia membabitkan 13 projek.
“Semua projek kerajaan negeri berjalan lancar,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pemantauan Projek Jaringan Luar Bandar Bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Bintulu dan Wakil Rakyat Tempatan, di sini, hari ini.
Namun, Douglas Uggah mendedahkan hanya satu projek di bahagian itu membabitkan Kerajaan Persekutuan dikategorikan sebagai projek sakit kerana masalah kelewatan pelaksanaan dari jadual ditetapkan.
Katanya, ini menjadikan keseluruhan sebanyak 14 projek kerajaan bernilai RM1.124 billion sedang dilaksanakan di bahagian ini.
Jelas Uggah lagi, bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan mengikut jadual, JKR menetapkan peraturan sebulan kepada pihak kontraktor untuk memulakan kerja- kerja mereka.
Sekiranya, gagal berbuat demikian, JKR tidak teragak- agak untuk menamatkan kontrak ke atas kontraktor terlibat selaras dengan sasaran projek sifar sakit jabatan itu.
