KUCHING: Sarawak membangunkan beberapa rangka kerja dalam usaha menangani perubahan alam sekitar.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESty), Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, langkah pertama dilaksana adalah menubuhkan kementerian berkenaan untuk memfokuskan kepada penggubalan dasar pembangunan sektor tenaga dan kelestarian alam sekitar untuk Sarawak.
Selain itu katanya, Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pengeluaran Gas Rumah Hijau) 2023 juga telah diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tahun lalu, bagi memperkasakan usaha ke arah itu.
Katanya, penggubalan ordinan tersebut untuk memperkenalkan peraturan baharu bagi menangani pencemaran alam sekitar.
“Kita berterima kasih kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas berpandangan jauh dalam menceburi industri baharu iaitu ekonomi hijau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual dalam Program Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Studio UKAS hari ini.
Hazland menambah, Sarawak bertuah kerana mempunyai tanah yang luas dan litupan hutan sebanyak 62 peratus yang menyerap karbon dioksida menjadikan tangkapan karbon sebagai ekonomi baharu.
Katanya, Sarawak juga berhasrat melaksanakan projek penyimpanan karbon dalam rumpai laut untuk mengimbangkan penyerapan karbon secara konsisten di masa hadapan.
