Sarawak laksana kajian kebolehlaksanaan projek Kereta Api Trans-Borneo

KOTA KINABALU: Sarawak sedang melakukan kajian kebolehlaksanaan untuk projek Kereta Api Trans-Borneo bagi mengukuhkan lagi hubungan antara Sabah dan Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, selain penekanan kepada ekonomi hijau, Sarawak turut memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur pengangkutan dalam usaha memastikan keterhubungan rentas sempadan dan mempromosikan pertumbuhan lestari di seluruh kawasan.

Katanya, infrastruktur pengangkutan memainkan peranan penting untuk memacu pembangunan serantau.

“Projek-projek infrastruktur utama seperti Lebuhraya Pan Borneo, Lebuhraya Pantai Wilayah Utara dan Jalan Penghubung Sabah-Sarawak sedang giat dilaksanakan buat masa ini.

“Sarawak juga sedang memodenkan pelabuhan dan lapangan terbangnya serta sedang meneroka pembangunan syarikat penerbangan milik negeri untuk meningkatkan keterhubungan serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media sempena Forum Ketua Menteri, Gabenor dan Kerajaan Tempatan (CMLGF) di sini, hari ini.

Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II itu memberitahu, Sarawak juga menekankan konsep kelestarian dengan memfokuskan projek-projek tenaga bersih seperti hidrogen hijau dan bahan api penerbangan lestari daripada mikroalga.

Dalam perkembangan lain, beliau menggesa kerjasama yang lebih erat dalam kalangan negara-negara Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina ‘East ASEAN Growth Area’ (BIMP-EAGA) untuk mempertingkatkan keterhubungan digital dengan menyoroti pelaburan Sarawak.

Ini meliputi internet berkelajuan tinggi, infrastruktur 5G dan Rangkaian Optik Serat Trans Nusantara yang menghubungkan Sarawak dengan Indonesia.