SINGAPURA: Sarawak Pavilion mencuri perhatian dengan keunikan serta inovasi produk tempatan di Food & Hospitality Asia (FHA) 2026 di Singapore Expo, di sini bermula hari ini hingga 24 April.
FHA 2026 dijangka menarik lebih 80,000 pengunjung antarabangsa dan antara produk tempatan diketengahkan bagi pengunjung menilai sendiri keunikannya ialah lada Sarawak, sarang burung, ikan empurau dan nanas Sarawak Gold 1 (SG1).
Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS) mengendalikan Sarawak Pavilion dengan menghimpunkan 19 pempamer termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sarawak dalam ruang seluas 126 meter persegi.
Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata inovasi produk tempatan seperti teh berasaskan sayur Midin berjaya dikomersialkan sebagai minuman dan mendapat sambutan di pasaran Singapura.
“Ini membuktikan produk kita mempunyai keunikan tersendiri dan mampu menarik minat pasaran luar,” katanya selepas merasmikan Sarawak Pavilion, di sini, hari ini .
Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr. Malcom Mussen Lamoh, Pengerusi STATOS Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Penasihat MINTRED Dato Sri Mohd Naroden Majais, Ahli-ahli Lembaga Pengarah STATOS Datu Hii Chang Kee yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Laura Lee Ngien Hion, Dato Ngui Ing Ing, Datu Lester Matthew dan Charlie Soh Poh Peng serta Ketua Pegawai Eksekutif STATOS, Chew Chang Guan.
