KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang dijemput untuk menyertai acara di peringkat global mencerminkan peranan strategik Sarawak dalam menerajui tenaga diperbaharui, perangkap, penyimpanan dan penggunaan karbon (CCUS) dan kewangan lestari.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni berkata, Sarawak akan memain peranan penting dalam Minggu Kelestarian Kuala Lumpur (KLSS) pada Oktober 2025 yang turut menjadi platform bagi pemimpin ASEAN membincangkan isu sifar bersih, perubahan iklim dan kewangan lestari.
Dengan inisiatif utama seperti levi karbon Sarawak di bawah Ordinan Alam Sekitar 2023 serta perancangan untuk sistem perdagangan perlepasan ASEAN, Sarawak kini berada di barisan hadapan kelestarian serantau, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRES) terus komited untuk memajukan teknologi hijau serta inisiatif perubahan iklim dengan menjalin kerjasama dengan kerajaan Sarawak, tegas beliau.
Dr. Hazland berkata, kerjasama itu mencerminkan kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam membangunkan teknologi hijau dan menangani perubahan iklim di peringkat global.
”Sarawak juga akan turut serta dalam pameran perdagangan teknologi hijau terbesar di Asia Tenggara yang akan mengetengahkan kemajuan negeri dalam tenaga bersih dan menarik pelabur dalam sektor kelestarian, iaitu International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM) 2025.
”Sarawak juga terus mengukuhkan peranannya dalam Pavilion Malaysia di COP30 di Brazil dengan mengetengahkan usaha wilayah ini dalam tenaga diperbaharui dan pengurusan karbon di peringkat global,” katanya.
Menurutnya, KLSS 2025 bakal menjadi wadah utama pemimpin ASEAN membincangkan strategi mencapai sasaran sifar bersih (net-zero), manakala IGEM 2025 akan mengetengahkan kemajuan Sarawak dalam tenaga bersih dan menarik minat pelabur global.
Katanya, dengan komitmen itu, Sarawak bukan sahaja sebagai pemacu ekonomi hijau Malaysia tetapi juga pemain utama dalam kelestarian global.
