LAWAS: Pemimpin peringkat akar umbi perlu proaktif menyalurkan maklumat berhubung bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada golongan memerlukan.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, kerajaan sentiasa peka dengan kehendak mereka yang memerlukan bantuan dengan memperkenalkan pelbagai bentuk bantuan, sebagai sebahagian daripada dasar-dasar Kerajaan Sarawak dalam usaha memakmurkan rakyat.
“Kepimpinan masyarakat harus memainkan peranan sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat bagi memastikan setiap bantuan yang disediakan sampai kepada golongan sasar,” katanya berucap pada Majlis Sejambak Kasih Sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 di sini, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohamad Razi Sitam berkata, seramai 1,215 penerima bantuan daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Limbang akan menerima sumbangan Aidilfitri.
Daripada jumlah tersebut jelasnya, seramai 100 klien dijemput menghadiri majlis hari ini, manakala selebihnya akan menerima bantuan melalui akaun bank.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Semawi Mohamad, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok.
