Kerajaan Sarawak, Kerajaan Persekutuan berkongsi inisiatif strategik tingkatkan kecekapan pentadbiran

KUALA LUMPUR: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki mengetuai kunjungan hormat terhadap Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.

Kunjungan tersebut turut disertai Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar dan tiga Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Datu Buckland Bangik dan Datu Hii Chang Kee.

Pertemuan ini bertujuan berbincang dan bertukar pandangan mengenai transformasi sektor perkhidmatan awam, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan kerjasama antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.

Di samping itu, kedua-dua pihak turut berkongsi pelbagai inisiatif strategik bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran serta memperkasakan pelaksanaan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.

Mohamad Abu Bakar juga menyatakan komitmen Kerajaan Sarawak untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dalam merangka dan melaksanakan polisi yang lebih inklusif dan berkesan.

Selain itu, beliau berharap kerjasama yang kukuh ini memberi impak positif dalam mencapai visi pembangunan negara secara keseluruhan.