Pembangunan masjid, surau di Dalat rancak dilaksana

DALAT: Projek pembangunan masjid dan surau di sekitar kawasan ini sedang giat dilaksana dengan adanya tanah wakaf serta peruntukan kerajaan, menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah.

Beliau berkata, projek ini dijadual untuk dilaksanakan pada tahun ini bagi memberi manfaat kepada penduduk.

“Kita komited untuk memastikan projek ini dapat direalisasikan tahun ini demi kesejahteraan penduduk kampung.

“Oleh itu, kita berharap kontraktor yang terlibat bersikap profesional dan berdisiplin agar kerja-kerja pembinaan lancar,” katanya semasa menyempurnakan Program Ziarah Ramadan di Masjid Al-Huda Kampung Sungai Kut Tengah, di sini semalam.

Dalam program sama, Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf termasuk masjid dan surau di Daerah Dalat serta Daerah Kecil Oya.

Seramai 470 penerima dari kedua-dua daerah tersebut menerima sumbangan, melibatkan enam lokasi utama iaitu Masjid Al-Huda Kampung Sungai Kut, Masjid Al-Hidayah Kampung Medong, Masjid Al-Muslihin Dalat, Masjid An-Nur Kampung Balan, Masjid Darul Islah Kampung Bakong dan Masjid At-Taqwa Oya.

Selain itu, sebanyak sembilan masjid menerima peruntukan berjumlah RM32,500, manakala 14 surau menerima RM35,000 untuk melaksanakan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan ini.