Sarawak cadang bina dua insinerator teknologi Sweden lupuskan sisa pepejal

KUCHING: Kerajaan merancang membina dua insinerator sebagai tempat pelupusan sisa buangan bagi mewujud kawasan bandar kelestarian alam sekitar.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebuah daripadanya akan dibina di selatan dan sebuah lagi di kawasan tengah negeri ini.

“Kawasan selatan meliputi Bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman dan Betong, manakala kawasan tengah meliputi Bahagian Sarikei dan utara Sarawak,” katanya merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-36 Bandaraya Kuching di sini.

Beliau berkata, Unit Perancangan Ekonomi Negeri akan membuat kajian kemungkinan membina insinerator itu bagi melupuskan sisa buangan dan menggunakan teknologi terkini menjadikannya sebagai penjana tenaga.

Ditemui media kemudian, beliau berkata, sebuah insinerator boleh menampung sehingga 900 tan sampah sehari.

Abang Johari menegaskan, mesin itu mesti berteknologi tinggi bagi memproses sisa industri perkilangan, minyak dan gas serta mampu menampung keperluan zaman mendatang dalam memelihara kelestarian alam sekitar.

Setakat ini teknologi yang digunakan oleh Sweden memikat hati beliau, katanya, selain sesuai dengan saiz penduduk Sarawak kerana negara itu mempunyai cuma 5 juta penduduk.

Katanya, teknologi Sweden bukan setakat melupuskan sampah secara lestari malahan negara itu mengimport sampah untuk dikitar semula selain menjual tenaga yang dihasilkan dari insinerator sampah.

Justeru, tambahnya, pembinaan dua insinerator itu akan dapat membantu melupuskan sisa buangan secara lestari untuk jangka masa panjang memandangkan tapak pelupusan sampah sekarang semakin terhad.

“Dengan jumlah penduduk yang semakin bertambah, sisa buangan juga akan bertambah, justeru kita harus merancang melupuskan sisa buangan itu secara lestari untuk jangka masa panjang,” tegas beliau.

Abang Johari turut mengumumkan, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan membiayai kos menyedia panel solar untuk perahu tambang di Sungai Sarawak.

Beliau menegaskan, dengan memiliki panel solar terbabit, setiap perahu tambang tidak perlu lagi menggunakan enjin sangkut dan pada malamnya menggunakan tenaga solar untuk menerangi perahu tambang.

“Ini adalah satu lagi nilai tambah kepada Sungai Sarawak sebagai daya tarikan pelancong kerana pada waktu malamnya perahu tambang akan menerangi Sungai Sarawak,” tegas Abang Johari.

Beliau mengucap tahniah kepada majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) atas usaha bersungguh-sungguh mereka membina Bandaraya Kuching sebagai bandar yang cantik, sejahtera dan destinasi pelancongan.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng dan Datuk Bandar DBKU, Hilmy Othman.