OCI Holdings tingkat pelaburan

SEOUL, Korea Selatan: Pengerusi OCI Holdings, Lee Woo Hyun komited untuk terus meningkatkan pengeluaran polisilikon untuk kegunaan photovoltaik di Sarawak dengan potensi pelaburan bernilai RM3.1 bilion.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pengembangan syarikat itu dijangka mewujudkan 400 peluang pekerjaan.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan semasa mengetuai rombangan dari Sarawak mengadakan mesyuarat dengan OCI Holdings di Seoul, Korea Selatan semalam.

OCI Holdings adalah sebuah syarikat kimia global mengeluarkan polycrystalline silicon, hidrogen peroxide dan bahan berkaitan kimia yang lain.

Pada 2017, OCI Malaysia Sdn Bhd (OCIM) memiliki 100 peratus saham dalam kilang pengeluaran polisilikon di Malaysia yang dimiliki oleh Tokuyama.

Pada masa ini, OCIM telah melabur lebih RM8 bilion di Sarawak untuk mengeluar polisilikon untuk industri solar. OCIM akan mengembangkan lagi dan mempelbagaikan pengeluaran dalam bahan kimia di Sarawak.

Awang Tengah berkata, OCIM berusaha masing-masingnya dengan Kumho dan Tokuyama untuk menghasilkan Epic Chloro Hydrin dan Semikonduktor Gred Polislikon. Pelaburan itu bernilai lebih RM3.2 bilion yang dijangka mewujud 400 peluang pekerjaan baharu.

Lee, katanya, turut menyatakan minat OCI Holdings untuk menerokai potensi pelaburan dan pembangunan tenaga, terutama tenaga diperbaharui di Sarawak melalui anak syarikatnya OCI Energy.

OCI Energy adalah sebuah syarikat global yang fokus kepada tenaga diperbaharui dan sistem penyimpanan tenaga (ESS).

Pada masa ini, OCI Energy adalah pemaju solar bebas terbesar di Texas, Amerika Syarikat.

Awang Tengah yang mengalu-alukan cadangan Lee bagi meningkatkan komitmen Sarawak menjadi peneraju tenaga hijau berkata, penyertaan syarikat itu dalam pembangunan tenaga hijau akan meningkatkan keterjaminan tenaga Sarawak sambil menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi mampan dan kelestarian alam sekitar.