BINTULU: Lembaga Amanah Kebajikan Islam (LAKIB) Bintulu menyerahkan bantuan wang tunai kepada ketua isi rumah yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Baru Tatau dekat sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee bersama pegawai tadbir Daerah Tatau, Raden Azamry Raden Perhan menyerahkan bantuan kewangan berkenaan kepada mangsa kebakaran.
Iskandar yang juga pengerusi LAKIB berharap bantuan itu mampu membantu meringankan beban mangsa.
Kebakaran pada 26 Julai lalu memusnahkan empat rumah di Kampung Baru Tatau, mengakibatkan 29 orang hilang tempat tinggal.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (Bomba) Tatau Jankey Jikat dalam laporan awal berkata anggota bomba dihantar ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 3:26 petang.
Kebakaran dilaporkan turut memusnahkan empat kenderaan milik penduduk, bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
