Sektor pengangkutan cekap majukan ASEAN

KUALA LUMPUR: Kerangka dasar pengangkutan dan infrastruktur masa depan tidak harus dipandang ringan bagi mengendalikan kompleksiti dan perubahan, kata Timbalan Perdana Menteri.

Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, lebih penting, kerangka dasar pengangkutan, infrastruktur dan fasiliti masa depan itu perlu disesuai dengan keluasan komuniti di ASEAN.

“Apabila sistem pengangkutan itu cekap, ia akan membuka peluang ekonomi dan sosial serta manfaat lain,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN Ke-30 di sini hari ini.

Menurut Fadillah, manfaat lain hasil daripada sistem pengangkutan cekap itu ialah mewujud kesan berganda seperti pelaburan, perdagangan, pelancongan, pembinaan, perancangan bandar dan pembangunan sosial.

Sejak beberapa tahun lalu, katanya, wilayah ASEAN mencapai banyak kejayaan dalam sektor pengangkutan terutama kemajuan infrastruktur dan kerangka dasar.

Inisiatif seperti Pintu Tunggal ASEAN, Perjanjian Pengangkutan Rentas Sempadan ASEAN dan Rangkaian Lebuhraya ASEAN, katanya, telah berjaya meningkatkan integrasi wilayah

Fadillah berkata, kerjasama antara Negara Anggota ASEAN (AMSs) dalam melaksanakan Cetakbiru Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025 adalah bukti komitmen ASEAN untuk muncul sebagai komuniti ASEAN lebih dinamik.

Pembangunan sektor pengangkutan, tambahnya, berjaya mewujud banyak peluang pekerjaan untuk penduduk dan pekerja mahir merentas sempadan dalam pelbagai bidang sekali gus meningkatkan sosioekonomi dan kebajikan komuniti ASEAN.

Sebagai misalan, Johor Bahru-Singapore RTS Link merupakan inisiatif infrastruktur utama yang akan memberi kesan kepada pembangunan sektor pengangkutan dan integrasi ekonomi, kerjasama dan kelestarian serantau.

Pembangunan RTS Link itu bukan setakat menghubungkan Johor Bahru dan Singapura tetapi berpotensi mengubah corak hidup rakyat dan pergerakan barangan secara meluas di wilayah ASEAN.

Malaysia, tegas beliau, turut membangunkan kesalinghubungan darat apabila Keretapi Tanah Melayu Berhad memulakan operasi khidmat rel kargo di bawah ASEAN Express Freight Train yang menghubungkan Malaysia-Thailand-Laos dan China.

Ini adalah satu kejayaan membanggakan dalam sektor logistik kerana mempercepatkan perdagangan rentas sempadan dan pengangkutan barang di ASEAN yang menggandakan kesan ekonomi di wilayah ASEAN.